insan biasa

may Allah bless u

Saturday, 27 August 2011

Terseksa Kerana Memiliki dan Dimiliki

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
(Tidaklah aku menulis hari ini melainkan dengan keizinan-Nya)

Mengapa semua rasa yang pedih ini menerjah hati kita? Jawabnya adalah kerana kita rasa memiliki dan dimiliki. Si isteri merasakan suami itu kepunyaannya. Maka apabila suami 'menghilangkan' diri, hidupnya nanar dan tersasar. Padahal jika difikirkan dengan sedalam-dalamnya, suami itu bukan milik kita. Dia milik Allah. Maka bila-bila masa sahaja Allah boleh 'mengambilnya' menerusi kematian, perpisahan, atau penceraian.

Jadi, untuk tidak terlalu menderita dalam hidup, jangan rasa memiliki sesuatu. Ingatkan diri kita bahawa kita hanya peminjam bukan pemilik. Ketika itu, jika sesuatu itu diambil balik oleh empunyanya, maka kita terasa seolah-olah hanya memulangkan. Bukan dirampas! Inilah hakikat hidup. Tidak ada milik kita. Semuanya milik Allah. Kita hanya memikul amanah dan menjaga titipan amanah Allah itu.

Jiwa kita juga boleh rasa menderita apabila kita rasa memiliki. Apabila terasa diri kita dimiliki oleh suami, maka kita akan berbuat, bertindak, dan membuat keputusan hanya kerana dia. Suamilah fokus utama dalam hidup kita. Tanpanya kita merasa kekosongan, menderita dan kecewa. Dia dianggap mentari dalam hidup. Jadi, apabila matahari itu terbenam, gelaplah kehidupan.

Jangan ada rasa dimiliki oleh suami. Rasakan bahawa kita milik Allah. Allah adalah segala-galanya buat kita. Kita memiliki-Nya dan kita dimiliki oleh-Nya. Allah itu dekat. DIA tidak pernah meninggalkan kita dalam apa jua takdir-Nya.


Ingat selalu pesanan IBN 'ATAILLAH, seorang yang arif benar tentang Allah. Katanya :

"Sesiapa yang merasakan kasih sayang Allah terputus semasa Allah menguji dia, itu petanda dia belum kenal Allah."

No comments:

Post a Comment