DENGAN NAMA ALLAYH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
(Tidaklah aku menulis melainkan dengan keizinan dari-Nya)
my family |
ASSALAMUALAIKUM, Ummi, Abi, dan Akhi..
setelah banyak mengharungi liku-liku kehidupan sebagai seorang pelajar, banyak yang telah adik pelajari. Bukan mudah untuk menjadi seorang yang berjaya tetapi ia juga bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dikecapi. Bak kata pepatah, genggam bara api biar sampai jadi arang.
Sepanjang kehidupan, tidak pernah sekali adik merasa bagaimana untuk hidup berdikari. Memang, adik akui, sudah lima tahun lima bulan adik tinggal di asrama namun belum cukup untuk adik menjadi seorang yang berani. Kerana apa? Kerana sepanjang kehidupan adik di asrama dahulu adik masih dibayangi oleh Ummi, Abi, dan Akhi terutamanya. Sebut sahaja apa masalah yang adik hadapi di asrama, kekurangan wang atau makanan segera UmmI, Abi, dan Akhi datang menghulurkan bantuan. Ibarat superhero dalam kaca televisyen yang sedia menghulurkan bantuan sepantas kilat di saat orang kesusahan.
Akhi sering bertanya apakah adik sudah bersedia untuk melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur. Jelas sekali bahawa Akhi tidak percaya pada keupayaan adik untuk hidup di sana. Begitu jua dengan Ummi dan Abi. Walaupun kalian berdua tampak tenang bagai tiada apa yang mengusutkan fikiran tapi adik tahu bahawa kalian berdua masih khuatir. Dalam hati adik tekad untuk menjadi insan yang berani berhadapan dengan cabaran sekali gus menanamkan azam untuk berjaya. Insya-Allah.
Justeru, hari ini adik melangkah setapak keluar dari keselesaan hidup. Adik melangkah ke hadapan dan meninggalkan keluarga, dan sahabat di Johor semata-mata untuk memenuhi impian mengenggam segulung ijazah. Insya-Allah, keputusan Ummi dan Abi untuk menghantar adik ke sini adalah satu keputusan yang tepat. Terima kasih kerana mengizinkan adik untuk merantau di bandar yang penuh cabaran ini.
Masih terngiang di cuping telinga adik nasihat Akhi agar adik tidak merayap ke mana-mana selepas tamat kelas. Pesanan Akhi agar adik terus ke asrama pelajar tanpa perlu berjalan-jalan makan angin terlebih dahulu. Adik faham Akhi. Ke mana sahajalah yang adik boleh pergi di bandar ini? Memang banyak tempat yang boleh dilawati, bahkan "shopping" pun memang sesuai tetapi apalah maknanya itu semua andai tiada keluarga disisi? Sewaktu Ummi, Abi, dan Akhi mahu pulang ke Johor setelah menghantar adik Ahad lepas, perasaan sedih sudah mula menjalar. Waktu itu adik tahu bahawa adik akan keseorangan di Kuala Lumpur. Bukan lagi seperti dahulu yang mana walaupun adik tinggal di asrama tetapi masih lagi dalam satu negeri dengan Ummi dan Abi.. Adik kini bersendirian tanpa keluarga dan juga teman. Adik harus pandai untuk berdikari.
Perlulah Ummi, Abi, dan Akhi ketahui disini bahawa bukan niat di hati ini untuk menamatkan pengajian dalam bahasa arab semasa di Maahad Johor dahulu, bahkan sudah lima tahun lima bulan adik mempelajari bahasa itu. Walaupun masih kurang mahir dengan kaedah nahu dan sorof bahkan jua belum cukup mahir untuk bercakap lancar dalam bahasa arab, namun ia bukan satu alasan untuk adik terus melupakannya. Jika adik berbuat demikian bermakna sia-sia sahajalah lima tahun adik mempelajari bahasa syurga tersebut.
Pada zaman serba maju sekarang ini, masih ramai yang menganggur. Malah, mahasiswa universiti juga masih ramai lagi yang menganggur. Menyedari hakikat tersebut, adik menyedari bahawa bukan senang untuk mendapat pekerjaan pada masa kini. Justeru di sinilah adik melanjutkan pelajaran. Jaminan pekerjaan setelah tamat belajar itulah yang adik harapkan. Alhamdulillah, Allah telah memudahkan urusan adik. Kini semuanya terserah kepada adik untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi. Walaupun apa yang adik pelajari kini tiada kesinambungan dengan apa yang adik pelajari pada zaman sekolah dahulu namun pengajian agama tersebut tidak akan adik biarkan begitu sahaja. Pepatah arab ada mengatakan bahawa ilmu tanpa amal ibarat phon tanpa buah. Oleh itu, ilmu agama yang adik pelajari akan terus dipraktikkan dalam kehidupan. Insya-Allah. Walaupun adik tidak mampu berdakwah melalui ceramah, nasyid dan sebagainya, tetapi biarlah adik berdakwah dengan mencerminkan sendiri bagaimana agama islam mengajar penganutnya. Insya-Allah jika diizinkan Tuhan. Amin.
Ummi, Abi, dan Akhi,
restuilah dan kirimkanlah doa buat diriku yang jauh di mata ini. Semoga setiap perjalanan akan dipermudahkan dan diberi petunjuk dalam setiap tindakan. Semoga dilindungi dari anasir-anasir yang tidak elok. (NA'UZUBILLAH MIN ZALIK). Amin...
SELASA-14JUN2011
No comments:
Post a Comment