DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
(Tidaklah aku menulis hari ini melainkan dengan keizinan dari-Nya)
Suatu ketika, Tuhan yang menciptakan alam ini berkata kepada malaikat-Nya, "Aku ingin menjadikan khalifah di muka bumi."
Para malaikat yang mendengar kalam itu kemudian bertanya, "Mengapakah masih perlu mereka, wahai Tuhan kami, sedangkan kita tahu bahawa mereka hanya akan memporak-perandakan dan menumpahkan darah di muka bumi?"
Maka dijawab dengan tegas oleh Tuhan, "Sesungguhnya, aku tahu apa yang kamu semua tidak tahu."
Setiap kejadian, setiap ciptaan pasti punya sebab musababnya. Siapakah yang mampu menafikan setiap makhluk yang diciptakan di muka bumi ini tiada taklifan daripada Tuhan ke atas diri mereka? Apakah mereka sangka kejadian mereka hanyalah satu kebetulan?
Manusia tidak hanya diciptakan dengan tujuan yang tidak jelas, bahkan semuanya sudah diaturkan oleh Tuhan yang Maha Esa. Tinggal lagi mampu ataupun tidak kita melaksanakan apa yang dituntutnya, iaitu menjadi khalifah dan langsung mendasarkan amal makruf nahi mungkar sebagai prinsip jati diri khalifah Allah.
Kita punya taklifan, dalam sedar ataupun tidak. Paling kurang kepada diri sendiri. Rasulullah pernah berpesan, "Setiap daipada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan disoal atas apa yang dipimpinnya."
Jelas bukan? Kita punya misi di alam fana ini, paling kurang meneladani dakwah Rasulullah. Meneruskan legasi dakwah yang menjadi tuntutan dan kewajipan. Dan bertuahlah mereka yang berada atas jalan ini kerana antara satu-satu sunnah dan tanggungjawab Rasulullah yang dapat kita laksanakan adalah dakwah.
-sekadar ingin berkongsi-
No comments:
Post a Comment