insan biasa

may Allah bless u

Monday 10 March 2014

~H.B~ -_-

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
(Tidaklah aku menulis hari ini melainkan dengan keizinan dari-Nya)

Seumur hidup, tiada yang dikatakan "MAJLIS HARI JADI". Bahkan untuk meraikannya pun jarang sama sekali.

Iri hati melihat sambutan hari jadi orang lain?

Jujur, tidak ada langsung perkataan itu dalam kamus hidupku.

Kenapa?

Kerana aku sendiri lebih selesa begitu. Mungkin kerana sudah terbiasa.

Bohonglah jika aku katakan tiada langsung perasaan iri bila melihat orang lain menyambut hari lahir mereka besar-besaran, diraikan ramai orang, akan tetapi perasaan itu segera terpadam bila hati mula berkata:

"Tiada yang lebih gembira melainkan kau sendiri tahu hari ini hari lahir kau."

Bahagia dan gembira tidak semestinya apabila bersama rakan-rakan dan orang-orang terdekat tetapi apabila individu itu sendiri yang meletakkan diri mereka dalam keadaan gembira. Tiada yang dapat menghalang bila dia sendiri membenarkan dirinya untuk bahagia.

Justeru, aku sendiri sudah cukup berpuas hati dan bersyukur dengan mengetahui bahawa hari ini merupakan hari lahirku.

.................................................................................................

Masih segar dalam ingatan, waktu itu Cikgu Rokiah memanggil namaku meminta agar aku mengagihkan makanan. Dalam hati aku bertanya, "Kenapa aku?"

Tapi terselit juga rasa bangga apabila cikgu memilih aku dan bukannya murid yang lain.  -_-

Sebenarnya, pagi itu sewaktu Ummi menghantar aku ke Tadika, aku perasan Ummi berbual bersama Cikgu Rokiah. Entah apa yang dibualkan aku sendiri tidak pasti. Dan kerana itulah Cikgu Rokiah meminta aku untuk mengagihkan makanan.

APOLLO. Itulah makanan yang aku agihkan kepada semua rakan sekelas (yang akhirnya aku sendiri tidak dapat.  -_-)

Malamnya pula, ketika makan malam, Arwah Atuk mengetuai bacaan doa selamat yang dituju untuk aku. (Aku tahu pun sebab Arwah sebut nama aku terlebih dahulu sebelum nama ahli keluarga yang lain). 

Aku nampak ada sebiji kek di tengah-tengah meja. Aku nak pasang lilin tapi ditegah keras oleh Ayah. Aku diam. Bagai mimpi, seakan masih terngiang bacaan doa Arwah Atuk, dan usapan lembut tangan Ummi dan Ayah mengusap rambutku. Waktu itu jumlah keluarga kami 5 orang termasuk Arwah Atuk.

Hari ini barulah aku sedar bahawa itulah sambutan untuk hari lahirku. Apalah yang diketahui oleh seorang kanak-kanak berumur 5/ 6 tahun ketika itu?

Masa terus berlalu. Aku berpindah sekolah. Waktu itu umurku 10 tahun. Sekolah baru, suasana baru, dan kawan-kawan baru. Semuanya baru.....

Masih jelas dalam memoriku, seorang rakan kelas bertanya:

"Berapa tarikh lahir awak?"

"Entah, tak tahu. Tak pernah tanya Ummi dan Ayah," jawabku.

Aku nampak riak wajahnya terkejut. Tapi aku buat tak endah.

Baru aku sedar, semua rakan mengetahui tarikh lahir mereka sedangkan aku tidak pernah nak ambil tahu perkara seperti itu.

Pulang dari sekolah, malamnya aku terus bertanya Ummi:
"Ummi, bila tarikh lahir Adik?"

"Entahlah, Dik. Ummi tak ingat. Ummi lupa. Jom tanya Ayah," jawab Ummi.
(Jujur, sedikit pun aku tak terkesan bila Ummi cakap dia lupa. Sebab dia bekerja. Mesti penat dan aku sendiri pun dah agak, aku pun tak pernah nak ambil tahu pasal tarikh lahir ni. )

"10hb 3," jawab Ayah.

"Oh, ok.. terima kasih,"

Dari situ bermulalah segalanya. Aku mula mengenal kalendar yang selama ini aku tak pernah nak sentuh, bahkan nak melihat pun tidak pernah sama sekali. Di sekolah, aku setia menanti dan menjadi penonton setia cikgu mencatat hari dan tarikh di papan hijau. Aku mula tertunggu-tunggu tarikh keramat itu...