DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
(Tidaklah aku menulis hari ini melainkan dengan keizinan dari-Nya)
Air mata...
petanda hati dilanda kesedihan
bermakna marah yang cuba ditahan
kadang-kala kerana kegembiraan
air mata juga
pembawa kepada sebuah ketenangan
mana mungkin diri dapat menahan
dari ia terus berlinangan.
"BUAT MATA YANG SEDANG MENANGIS"
Duhai mata yang sedang menangis...
Mungkin tika ini engkau sedang bahagia, mungkin juga engkau sedang berduka. Apa pun situasimu, air yang menggenangi kelopakmu dan mengalir ke pipi ialah anugerah Allah s.w.t yang tidak terhingga. Ia mampu membuang racun di tubuhmu kemudian disusuli ketenangan jiwa. Bersyukurlah pada-Nya kerana saat ini kau masih mampu menangis.
Sungguh hairan aku melihat orang yang merasakan tangisan itu satu kelemahan. Malah menganggapnya satu lambang ketidakmatangan. Sedangkan Allah s.w.t merasakan mulia sebuah tangisan dalam firman-Nya,
"dan mereka bersyukur (sujud) di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." (SURAH AL-ISRA' 17:109)
"apabila dibicarakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka. Maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis." (SURAH MARYAM 19:58)
Duhai mata yang menangis...
Tahukah dikau, jika dikaji dari perspektif sains, tangisanmu itu mampu menjadi terapi kesihatan yang berguna dalam merawat penyakit berbahaya. Tatkala dirimu dalam ketakutan, unsur-unsur berbahaya dijana oleh tubuh. Air mata secara semula jadi boleh membuangnya. Otak pula bekerja mengeluarkan unsur-unsur kimia daripada air mata. Bukan itu sahaja, tangisanmu menambah jumlah degupan jantung sebagai latihan berguna dan sekatan rongga badan, kedua-dua bahu dan urat-urat dada. Setelah tangisanmu reda, kembalilah degupan jantung ke asalnya dan ketenangan mula menguasai jiwa. SUBHANALLAH! Hebat sungguh penciptaan air mata!
Duhai mata yang sedang menangis...
Tangisan bukanlah satu keaiban tetapi suatu keperluan. Sama ada engkau lelaki atau wanita, engkau perlu pada tangisan. Ia menjernihkan kornea mata dan menajamkan penglihatan. Ia meringankan ketegangan jiwa. Ia mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang tersimpan.
Jika engkau lelaki, kenapa perlu malu pada tangisan? Mungkin sosiobudaya mendidikmu bahawa tangisan itu satu kelemahan dalam mengendalikan kemampuan. Kau mungkin dipisahkan antara diri dengan perasaanmu sendiri oleh didikan silam. Apa pun, tiada siapa dapat menafikan bahawa engkau juga punya hati dan perasaan. Isi hatimu kadangkala perlu diluahkan dengan tangisan untuk mengurangkan tekanan dan risiko penyakit. Usah menipu diri dan berlagak kuat dengan menafikan air mata kerana kelak badanmu yang akan mendapat darurat.
Jika engkau wanita, engkau mungkin lebih banyak menangis daripada lelaki. Tahukah dikau, bahawa penyayang-Nya Allah s.w.t padamu sehingga DIA menciptakan kelenjar-kelenjar air matamu lebih besar daripada air mata lelaki. Tidak hairanlah kajian ilmiah menunjukkan bahawa engkau menangis empat kali lebih banyak daripada lelaki.
Ia menjadi penyebab panjangnya usiamu berbanding lelaki. Masakan tidak, air matamu keluar bersama keluarnya peratusan racun dari tubuh. Doktor pakar mata mengatakan, air mata penting untuk menyucikan mata daripada racun yang keluar akibat ketegangan ubat saraf perasaan dan emosi yang tidak stabil.
Duhai mata yang sedang menangis...
Sungguh bertuah engkau mampu menangis. Usah ditahan tangisan itu. Luahkannya dengan rasa takut dan harap pada Tuhanmu. Benar, tangisanmu itu tidak mampu mengembalikan masa lalumu. Jangan dibiarkan tangisan itu membibitkan kabus pada masa hadapanmu. Anggaplah ia sebahagian daripada masa sekarangmu untuk melonjakkan amal dan perubahan untuk hari esok.
Sesungguhnya, tangisan kerana Allah s.w.t ketika gembira atau derita ialah ubat mujarab untuk mencari ketenangan hidup. Dengarilah pesanan Rasulullah s.a.w dalam meyampaikan kalam Yang Esa.
"aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis kerana takut kepada Allah."
(RIWAYAT AHMAD DAN AL-NASA'I)
-Sumber dari majalah Solusi, karya Fatimah Syarha Mohd Noordin.
Air mata...
mampu untuk meredakan
hati yang dahulu keresahan
mengalirnya air mata
mengurangkan sesak di dada
walau tanpa kata
hati rasa lega...
No comments:
Post a Comment